NASIB PERUBATAN MELAYU DI
TANAH MELAYU
KEMENTERIAN
KESIHATAN MALAYSIA (KKM) telah diberikan khabar bahawa orang Melayu yang
terlibat dalam dunia persilatan adalah pengamal sebenar dalam dunia perubatan
tradisional bangsa itu. Mereka bukan sahaja
menuntut ilmu beladiri untuk mempertahankan ancaman, tetapi secara tidak
langsung membantu masyarakat dalam rawatan memulih kecederaan dan
penyakit-penyakit tertentu.
Secara ringkas
diberikan gambaran bahawa ilmu persilatan turut menghasilkan pakej kepada
penuntutnya. Pakej kepada ilmu kecergasan iaitu senaman dan tari silat.
Manakala rawatan pula dari akar kayu, daun, urut, batu-batu dan pelbagai lagi. Begitulah khabar
penulis kepada pegawai-pegawai tertinggi Jabatan Bahagian Perubatan Traditional
dan Komplementari (BPTK) dalam perjumpaan rasmi beberapa persatuan perubatan
Melayu di Kuala Lumpur pada Februari lalu.
Diakui, bukan mudah
pengamal yang bertindak sebagai perawat tradisional Melayu memberi kepercayaan
atau keyakinan kepada pegawai-pegawai BPTK yang terdiri dari pakar perubatan
(doktor) dan ada berakademi tinggi.
Namun, kerana
pernah menghadir perjumpaan kali pertama sebulan sebelum itu, penulis dapat
memahami juga kehendak doktor-doktor itu, jika bercakap, mereka mahukan bukti! Mereka menolak
testimonial. Mereka mahu bukti yang dihasilkan dari kaji-selidik yang betul.
Kaji-selidik yang memerlukan beberapa pesakit sebagai bahan kajian, pakar-pakar
bertauliah yang terlibat dan kajian sebegitu memerlukan wang yang banyak dan
mengambil masa bertahun-tahun.
Penulis ketika
menyertai Seminar Nusantara di Kuala Lumpur pertengahan tahun lalu, teringat
dengan ucapan seorang profesor dari Thailand memberitahu pandangan pakar
perubatan moden dan tradisi tidak sama! Penulis setuju.
Doktor-doktor masuk universiti manakala pengamal perubatan traditional tidak,
kerana tiada universiti. Buku-buku rujukan perubatan moden berlambak dari
penulis-penulis yang sememangnya doktor berpengalaman dan penulisan bersandar
kepada bukti kaji-selidik mereka. Manakala buku perubatan traditional taraf itu
tiada. Ada buku herba dan urut tetapi tidak melepasi jumlah jari sebelah
tangan, dan tiada bukti kaji-selidik.
Secara tidak
langsungnya, walaupun perubatan tradisional jauh lebih lama dipraktiskan,
tetapi tetap kalah dengan perubatan moden kerana tiada kaji-selidik. Perubatan Melayu
juga tewas dengan perubatan Cina yang sudah melakukan pelbagai kaji-selidik.
Perubatan Cina di Malaysia diterima mudah kerana banyak buku-buku dari luar
negara terutama dari China menjadi bahan rujukan.
Menyedari kedudukan
perubatan Melayu tiada kekuatan, dalam perjumpaan dengan BPTK itu, penulis
terpaksa bersuara untuk mendapat perhatian. Jika hendak tunjukkan buku Senaman
Melayu Tua (Senaman Tua) terbitan penulis yang mempunyai testimonial dari
golongan profesional dan akademi, pastinya ditolak juga, maka, dibawa mereka
itu mendengar pengalaman yang telah penulis lalui. Penulis
menceritakan pengalaman merawat ‘orang kebanyakan’ hingga masuk istana dalam
dan luar negara, serta menyebutkan nama-nama doktor yang hadir. Ini menarik
perhatian pegawai-pegawai BPTK.
Setelah hospital
yang mempunyai ramai pakar-pakar perubatan ‘gagal’ memulih pesakit lumpuh
berbulan-bulan dan ada lebih lima tahun, ilmu rawatan Melayu yang bertawakal,
telah membuatkan pesakit dapat mengerakkan tangan sejam kemudian! Demikian ilmu
Melayu yang dianugerahkan. Senaman bukan sahaja dapat mencegah dan merawat,
tetapi kembalikan tenaga muda kepada yang sudah berusia. Urut dapat melegakan
badan dan rawat suami yang bermasalah. Peranan Mak Bidan juga luar biasa dan
rawatan sedemikian tiada pada bangsa lain.
Begitu juga dengan
herba, orang Melayu tahu herba untuk merawat kencing manis, darah tinggi, batu
karang, paru-paru berair dan denggi. Air yang direbus bagai air penawar kerana
sering berlaku pemulihan dengan cepat.
Demikian orang
silat dalam dunia perubatan tradisional. Malah turut diberitahu dalam satu
kajian bersama pensyarah universiti tempatan, didedahkan senaman-senaman bukan
Melayu ‘bercakap tidak benar’ kerana jurulatih-jurulatihnya menghidap darah
tinggi dan kencing manis. Berbeza dengan Senaman Melayu, petang diadakan kelas
senaman di universiti, malam itu juga pensyarah terkejut dengan keputusan luar
biasa.
Selepas perjumpaan
itu, nasib perubatan Melayu masih berkedudukan tidak pasti. KKM telah menerima
mudah kehadiran perubatan China dengan mengadakan MoU. Penulis tidak mahu
menjadi peminta sedekah kerana ilmu Melayu adalah aset Melayu dan Negara!
Penulis akan terus
berjuang kerana jika bukan Melayu yang pelihara, siapa lagi!
-SEMBAH SALAM - AZLAN GHANIE
Majalah SENI BELADIRI keluaran April 2012
Majalah SENI BELADIRI keluaran April 2012
Update post facebook
http://www.facebook.com/permalink.php?story_fbid=346794755356585&id=100000781891082
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.